Pelancongan

Pelancongan & Tempat Bersejarah | 27 November 2014


Pantai Kemasik merupakan destinasi pelancongan dan persinggahan tersohor di Daerah Kemaman. Kedudukannya yang bersebelahan dengan jalan raya utama Kuala Terengganu-Kuantan memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya.

Berbagai prasarana disediakan di Pantai Kemasik untuk kemudahan para pengunjung termasuklah gerai makan dan taman permainan kanak-kanak. Di pantai Kemasik juga terdapat kemudahan trek untuk berjogging dan beberapa alat senaman yang boleh digunakan secara percuma.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti yang lebih mencabar, bolehlah mendaki kawasan bukit berbatu di sekitar Pantai Kemasik untuk melihat permandangan Pantai Kemasik dengan lebih jelas lagi. Bagi yang ingin bersantai pula boleh berehat di atas batu ditepian pantai sambil menikmati keropok goreng dan air kelapa segar, atau bersama keluarga di atas pondok yang berada di pinggiran sungai dengan menyelusuri laluan yang disediakan.